Sejarah penulisan blog aku

Sejak 2003, aku sudah mula menulis di blog Friendster dengan membawa tema “Yu-Yake’” yang bermaksud “Mentari Senja”. Setelah dua tahun menulis, aku begitu senang bila setiap kali blog ini dikemaskini, ahli rakan di Friendster akan diberitahu secara automatik tentang entri terkini yang aku bawakan. Berani aku katakan, kewujudan YuYake adalah sesuatu yang sangat aku hargai di mana blog itu disenaraikan dalam barisan blog Friendster terawal ketika itu. Aku terus hanyut dengan dunia blog Friendsterku yang entrinya ketika itu sudah hampir menjejak sehingga 50 artikel.

Dalam kealpaan itu, aku mendapat maklum balas dari saudara-maraku yang kerap mengeluh tentang kekurangan blog itu. Mereka yang tidak mempunyai akaun Friendster (terutama di kalangan pakcik makcik), tidak dapat meninggalkan jejak dan memberi komentar setiap kali entri baru dikemaskini. Ditambah lagi, kewujudan Yu-Yake cuma disedari oleh sahabat rapat dan rakan Friendster sahaja.

Pada Jun 2005, secara mengejut aku terus memadamkan Yu-Yake di Friendster. Aku membuat langkah drastik untuk cuba menulis di blog yang berenjinkan Blogger (aka Blogspot) yang akhirnya mendapat keluhan dari rakan-rakan melalui ruangan mesej di Friendster. Tujuan utama aku menukar ke Blogger sebenarnya adalah atas minatku pada HTML dan JAVA. Sudah muak bila terceruk di bawah tempurung Friendster, yang serba kekurangan dan penuh kekangan. Misi seterusnya, aku menyasarkan pembaca yang di kalangan luar Friendster pula selepas itu.

Masih mengekalkan perwatakan asal, iaitu sebagai Yu-Yake , aku menggunakan alamat www.alirfan.blogspot.com sebagai tapak mula. Pelbagai eksperimen dilakukan untuk mempelajari selok belok Blogger memandangkan ketika itu tutorial tentang cara penggunaannya masih terlalu sedikit. Sekurang-kurangnya, ia mengajar aku berdikari menggunakan teknik cuba jaya (try and error). Kini usah dikhuatir lagi, semuanya boleh di”google” saja. Untung generasi masa kini, kan?

Baru beberapa bulan saja aku menulis, aku masih tidak berpuas hati lagi walaupun boleh dilabel sebagai seorang blogger “hijau” ketika itu. Kali ini, adalah disebabkan percambahan minat (dari HTML dan JAVA) terhadap PHP dan CSS pula . Membuatkan aku begitu tertarik dengan enjin Wordpress yang baru ditubuhkan ketika itu di bawah lesen perisian sumber terbuka (Open Source Content Management System).

Penghijrahan aku ke Shizuoka, Jepun pada April 2006, membuatkan aku mengubah karakter blog kepada “Sang Pelangi”, seiring dengan pembaharuan blog yang lebih segar. www.SangPelangi.wordpress.com adalah perhentian baru buat mereka yang minat terhadap pembacaan blog. “Ape yg pelek bile aku jejak kt cni” adalah entri pertama sejurus selepas aku menjejakkan kaki di lereng Fuji. Jika dibaca semula entri itu, pasti aku bergelak ketawa membayangkan mentahnya isi yang aku luahkan ketika itu.

Blog di enjin Wordpress yang sarat dengan “bahasa SMS” ini telah membuatkan aku sendiri merasa jelek untuk membacanya. Aku yang ketika itu sedang tercari-cari gaya penulisan tersendiri, kemudiannya cuba untuk menulis pula dalam bahasa Melayu yang standard biasa. Ekoran perubahan itu, aku turut menukar alamat dari SangPelangi.wordpress kepada www.SangPelangi.com. Semua fail di Wordpress percuma telah aku pindahkan ke server berbayar (bulanan) yang diselenggarakan di Hostgator, dan menggunakan domain dot com yang aku perbaharui setiap tahun. Langkah ini adalah bertujuan supaya aku dapat menulis dengan lebih serius, berdisiplin dan lebih matang. Tiada lagi singkat kata seperti “yg“, “ko“, “ape” di dalam penulisan di dalam entri SangPelangi (kecuali di ruangan komentar).

Percubaan pertama kali menulis di dalam bahasa Melayu standard boleh anda baca di bawah tajuk “Ustaz Fakih, terima kasih segalanya.” (klik link untuk membaca). Entri pertama yang ditulis menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu standard ini telah melahirkan impak tersendiri apabila banyak maklum balas positif yang aku terima dari pengunjung. Ia adalah momentum terbesar buat “SangPelangi” untuk terus bermotivasi tinggi.

Tahun 2007, adalah satu lagi langkah baru di dalam hidupku bila mana aku dijemput oleh “Mak Kucing”atau nama sebenarnya Adibah Abdullah, untuk menyertai barisan GKLN (Grup Karyawan Luar Negara) supaya dapat mempelajari lebih banyak lagi “sepak terajang” di dalam penulisan. Disebabkan aku adalah ahli tunggal dari negara Jepun, maka secara rasmi aku dilantik sebagai moderator GKLN cawangan Jepun oleh penggerak GKLN. Dari sehari ke sehari, pelbagai teknik telah dikongsi dan aku semakin menemui gaya penulisan tersendiri yang selama ini dicari-cari. Sempat juga aku menyertai Antologi Puisi “Bahasa Bumi” bersama mereka.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada beberapa individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung terhadap perkembangan Sang Pelangi. Sudah terlalu banyak nama yang tertulis di dalam sejarahnya dan jasa kalian sungguh bermakna. Ilmu yang diterima, tidak kira dari segi teknikal, mental mahupun fizikal sudah terlalu banyak dan sukar untukku balas dengan harta dunia ini. Terima kasih juga kepada pembaca setia SangPelangi yang masih mengikuti tumbesarannya. Tanpa kalian, penulisan maya mungkin akan menjadi karya picisan semata. Doakan agar aku dapat terus memberi manfaat buat kalian hingga ke liang lahad.

Baiklah. Pasti kalian tertanya-tanya untuk apa aku kembali ke Friendster pula kali ini? Jawapannya aku sendiri pun tidak pasti. “Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.” Pujangga ini bisa menjawab segalanya.

Selamat datang dan kita berjumpa di www.SangPelangi.com

p/s: aku tidak selalu update di sini. Dot Com adalah medan utama.

Add comment September 12, 2008


Mari klik.

RSS My SangPelangi

10 Entri Malar Segar

Iklankan SangPelangi!